Masalah keluarga dipercayai punca ibu bersama anak 3 dan 6 tahun ditemui mati tergantung di kipas

Seorang wanita bersama dua anaknya ditemui meninggal dunia dalam keadaan tergantung pada kipas di sebuah rumah di Lenggeng, Nilai, Negeri Sembilan pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Abdul Malik Hasim berkata, Balai Polis Lengggeng menerima panggilan kecemasan daripada seorang lelaki melibatkan kejadian itu pada 9.25 malam.

Katanya, hasil siasatan awal mendapati wanita berumur 34 tahun bersama dua kanak-kanak berumur tiga dan enam tahun dijumpai mati tergantung di kipas.

“Lelaki itu memaklumkan terdapat seorang wanita dan dua kanak-kanak ditemui mati di sebuah taman perumahan.

“Turut ditemui di tempat kejadian adalah nota tulisan si mati yang menyatakan dia berdepan masalah rumah tangga,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Nilai membuat tangkapan ke atas suami si mati kira-kira pukul 1 pagi, Selasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Permohonan reman dipohon di Mahkamah Majistret Seremban pada pagi ini (Selasa) dan reman dibenarkan selama empat hari bermula 23 Februari depan,” katanya.

Sementara itu, ketiga-tiga mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban untuk bedah siasat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat