Prinsip agama jadi pegangan Kerajaan MADANI laksana ekonomi negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerangka ekonomi Madani bukan semata-mata fokus kepada duniawi, bahkan turut menerapkan prinsip agama Islam agar negara akan kekal membangun secara positif.

Berucap di Majlis Perasmian Persidangan Antarabangsa Ekonomi dan Kewangan (ICIEF) tahun ke-15, Anwar menyatakan perkembangan pembangunan negara bukan hanya diukur melalui statistik dan pembangunan ekonomi semata tetapi berdasarkan prinsip agama juga.

“Justeru apabila Kerajaan MADANI dibentuk, saya mahu memastikan teori dan didikan daripada ekonomi Islam ini bukan sahaja dipraktikkan di menara gading atau pelantar akademik, malah dalam pentadbiran negara.

“Kerangka Ekonomi MADANI yang diketengahkan oleh kerajaan pimpinan saya bukan sahaja ingin mendambakan pengejaran materialistik dan kecanggihan dunia bahkan ia adalah usaha kerajaan untuk berlaku adil kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Anwar turut menyatakan negara tidak akan maju jika hak kemanusiaan tidak dibahagi secara sama rata dan keadilan sosial hanya diberikan kepada kelompok tertentu sahaja.

Dalam pada itu, ICIEF merupakan persidangan yang mengumpulkan para sarjana, penggubal dasar dan pemain industri dari seluruh dunia untuk membincangkan ekonomi dan kewangan Islam.

Bertemakan Memacu Agenda untuk Ekonomi Kemanusiaan yang Mampan, persidangan kali ini menyaksikan Malaysia sebagai tuan rumah bertempat di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia, Kuala Lumpur bermula 20 hingga 22 Februari.

Turut hadir pada persidangan tersebut, Pengarah Negara Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand di Bank Dunia, Dr Ndiame Diop; Pakar Ekonomi Kanan Program Pembangunan Bangsa Bersatu Malaysia, Singapura dan Brunei, Dr Alizan Mahadi dan Pengerusi Majlis Pimpinan Pusat Kewangan Islam Antarabangsa Malaysia, Tan Sri Datuk Azman Mokhtar.

Baca juga: