Aksi tembakan rambang, 2 lelaki didakwa di mahkamah

Dua lelaki didakwa membunuh dalam insiden tembakan rambang ketika perarakan kemenangan Super Bowl di bandar Kansas, Amerika Syarikat minggu lalu.

Pendakwa raya, Jean Peters Baker berkata, kedua-dua individu berkenaan dikenali sebagai Dominic Miller dan Lyndell Mays yang mengakibatkan kematian seorang wanita dan 22 lagi cedera dalam perarakan tersebut.

“Mereka didakwa dengan pembunuhan tahap kedua, dua pertuduhan melibatkan jenayah bersenjata dan penggunaan senjata yang menyalahi undang-undang.

“Insiden berkenaan tercetus apabila kedua-dua pihak lelaki itu bertengkar hingga Mays melepaskan tembakan pertama sebelum disertai oleh beberapa individu yang lain,” katanya lapor media antarabangsa, BBC.

Difahamkan, sewaktu kejadian polis berjaya melepaskan tembakan ke arah kedua-dua suspek. Suspek yang cedera kemudian dibawa ke hospital untuk dirawat sebelum berada dalam tahanan polis dengan wang jaminan sebanyak AS$1 juta (RM4,794,500).

Insiden tersebut telah membunuh Lisa Lopez Galvan, 43, dimana keluarganya menzahirkan rasa syukur atas penangkapan kedua-dua suspek berkenaan.

“Walaupun penangkapan tersebut tidak dapat mengembalikan semula Lisa, kami bersyukur dengan pihak polis yang berjaya membawa keadilan atas kematiannya,” kata salah seorang ahli keluarga mangsa.

Selain Lisa, mangsa lain yang cedera berada dalam lingkungan umur lapan hingga 47 tahun, menurut laporan pihak polis bandar Kansas.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat