Penunggang motosikal maut terseret 100m selepas dirempuh lori

Seorang anggota tentera meninggal dunia selepas terperosok bawab kereta dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 379 Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan di Slim River, Tanjung Malim, Perak pada Selasa. 

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), PBK II Mohamad Ubaidullah Ahmad Rani menyatakan pihak bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River telah bergegas ke lokasi kejadian sejurus laporan diterima.

“Mangsa yang merupakan penunggang motosikal terperosok di bawah kenderaan diselamatkan pihak bomba menggunakan peralatan menyelamat namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, laporan kemalangan diterima melibatkan sebuah lori milik Polis Diraja Malaysia (PDRM), motosikal dan kereta jenis Nissan Almera.

“Dalam kejadian sekitar jam 11.14 malam itu, mangsa, Mohamad Hafizz Yusof, 28, yang menunggang motosikal jenis Yamaha 125ZR disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

“Ketika kejadian, pemandu kereta lelaki berusia 28 tahun tidak sempat mengelak mangsa yang tercampak di hadapannya menyebabkan mangsa terseret sejauh 100 meter sebelum berhenti di lorong kecemasan,” katanya.

Siasatan mendapati lori yang dipandu lelaki berpangkat lans koperal berusia 39 tahun dalam perjalanan dari Pasukam Polis Marin Wilayah 1, Pulau Pinang ke Shah Alam.

Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Slim River untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat