Bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga apabila seorang wanita diminta untuk membayar hampir £200 (RM1,210) kepada pihak polis untuk mendapatkan semula kereta miliknya yang telah dicuri di Hampshire, England.
Wanita yang dikenali sebagai Lillie Powell, 26, itu turut meminta agar polis dapat mengubah polisi yang mengenakan bayaran ke atas mangsa kecurian kereta tanpa kunci.
Katanya, kenderaan pelbagai guna (SUV) jenis Range Rover berwarna kelabu itu hilang ketika parkir di luar rumahnya di Fair Oak.
“Selepas polis menemui semula kereta itu, saya dimaklumkan perlu membayar £192 (RM1,162) sebagai caj pengambilan di garaf untuk mendapatkan semula kereta.
“Selepas ditanya mengapa saya perlu membayar, polis menjawab ianya ‘hanya dasar kerajaan’ dan peraturan tersebut sangat tidak adil.
“Saya tahu menjadi mangsa kecurian adalah sangat menyedihkan, ia boleh menjejaskan kehidupan orang ramai,” katanya.
Difahamkan, polis memaklumkan bahawa pemilik kereta perlu membayar caj pengalihan dan penyimpanan kenderaan yang dicuri termasuk caj pemeriksaan forensik, kenderaan tidak akan dilepaskan sehingga wang dibayar dan akan dilupuskan selepas 14 hari jika tidak dituntut.
Mengulas mengenai detik kehilangan keretanya itu, Powell memberitahu, dia menyedari kejadian tersebut ketika berada di dalam rumah bersama anak perempuannya.
Kemudian, dia terdengar bunyi penggera kereta dari luar sebelum melihat ke luar tingkap. Powell kemudian terkejut apabila mendapati seorang lelaki sedang mendekati Range Rover miliknya.
Powell sempat memberi amaran agar lelaki itu menjauhi kenderaan selepas mendapati tingkat kereta tersebut terbuka.
Tanpa disedari, seorang lelaki lain sudah berada di dalam kenderaan itu dan kedua-dua pencuri itu memecut laju sebelum suaminya sempat ke pintu.
Difahamkan, kenderaan tersebut berjaya dibawa lari selepas pencuri berjaya mendapat akses komputer kereta terbabit dengan menggunakan peranti duplkasi yang membolehkan kereta tersebut dihidupkan tanpa kunci.
Baca juga: