Bekas menteri kewangan beri keterangan pada SPRM babit kes Spanco

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam percakapan bekas menteri kewangan yang terbabit dalam kontrak perolehan syarikat membekal dan menguruskan kenderaan kerajaan, Spanco Sdn Bhd (Spanco) bagi tempoh 2020-2021.

Ketua Pesuruhjaya SRPM, Tan Sri Azam Baki berkata, kes terbabit melibatkan Spanco masih dalam siasatan dan akaun terbabit masih dibekukan.

Katanya, beberapa saksi sudah dipanggil bagi memberikan keterangan dan mereka tidak menolak akan memanggil sesiapa sahaja yang terbabit dalam kuasa meluluskan projek berkenaan.

“Kita sudah merakam keterangan bekas Menteri Kewangan, namun bekas Perdana Menteri ketika itu belum dipanggil memberi keterangan.

“Kita serah kepada pegawai penyiasat di mana jika ada keperluan akan memanggil bekas Perdana Menteri itu untuk memberi keterangan,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Menurut laporan itu, Azam Baki hadir dalam Majlis Konvekesyen Pegawal Integriti Bertauliah (CEIO) kali ke-10 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) pada Khamis.

Tambahnya, sebagai ketua Pesuruhjaya SPRM, beliau berpendapat hal itu sudah menjadi tanggungjawabnya untuk melaksanakan kerja mengikut undang-undang, aduan dan tohmahan

“Buat masa ini, ia adalah tanggungjawab saya di mana apa saja yang diberikan (aduan) kepada kami akan disiasat,” katanya.

Beliau memberi penekanan bahawa siasatan kes Spanco kini menjurus kepada kontrak pemerolehan antara 2020 hingga 2021.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM melakukan serbuan di kediaman seorang ahli perniagaan bergelar Tan Sri bagi siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan perolehan dan pengurusan kenderaan kerajaan bernilai RM4.5 bilion.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat