Sebuah syarikat swasta di Johor dilaporkan mengalami kerugian sebanyak RM464,400 setelah melakukan transaksi kepada pembekal yang mengarahkan pembayaran dibuat ke akaun bank yang lain daripada akaun yang biasa digunakan.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar S. Muthuvelu berkata, syarikat berkenaan berurusan melalui e-mel dengan pembekal untuk membuat pembelian minyak sawit.
“Pihak pembekal telah membalas e-mel syarikat tersebut dengan mengarahkan pembayaran dibuat ke akaun bank yang didakwa akaun kedua syarikat pembekal berkenaan.
“Pihak syarikat tersebut kemudian membuat transaksi berkenaan tanpa keraguan namun mereka kemudiannya menerima e-mel lain dari pembekal yang sama menawarkan promosi bagi pembelian yang seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Mulai curiga dengan tindakan tersebut, pengadu yang merupakan wanita berjawatan eksekutif akaun di syarikat berkenaan menyemak semula alamat e-mel pembekal berkenaan dan mendapati terdapat perbezaan antara e-mel pembekal yang sebenar dan yang palsu.
Pengadu kemudiannya menghubungi pihak pembekal mengenai akaun kedua berkenaan namun pihak pembekal mengesahkan bahawa mereka tidak menerima lagi bayaran daripada tempahan yang dibuat.
Setelah menyedari syarikat mengalami kerugian atas pembayaran kepada pihak yang lain, pengadu membuat laporan polis dengan menyatakan e-mel syarikat mereka telah diceroboh dan kes tersebut disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, Kumar turut menyatakan kes jenayah komersial di negeri berkenaan meningkat sebanyak 719 kes pada tahun ini bermula awal tahun sehingga 17 Februari berbanding 266 kes pada tahun lepas dalam tempoh masa yang sama.
Sehubungan itu, pihak polis Johor turut menyeru orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak membuat transaksi melibatkan wang kepada mana-mana akaun yang mencurigakan.
Baca juga: