Kira-kira 20 pendatang izin tanpa izin (PATI) sanggup membahayakan diri terjun ke dalam longkang sedalam lima meter bagi mengelak dari dicekup dalam Ops Sapu di Kota Laksamana, Melaka pada Khamis.
Dipercayai seramai 11 warga asing berjaya dicekup pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka daripada jumlah asal tersebut.
Pengarah JIM Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, dalam operasi itu seramai 117 warga asing telah diperiksa.
“Hasil pemeriksaan telah menahan 90 orang warga asing disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada sebarang dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa di negara ini.
“Susulan itu, mereka yang ditahan berusia antara 25 hingga 40 tahun terdiri daripada lapan lelaki dan dua wanita warga Indonesia, 75 lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Myanmar serta seorang lelaki warga Pakistan,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, operasi penguatkuasaan ini berdasarkan kepada aduan yang diterima berkaitan lambakan warga asing yang bekerja di tapak pembinaan sekitar Taman Kota Laksamana.
Menurut Anirwan, ada yang berjaya ditahan, namun, ada juga yang berjaya meloloskan diri memandangkan keadaan persekitaran yang gelap dan membahayakan.
Tambahnya lagi, satu saman telah dikeluarkan kepada pegawai keselamatan di premis tersebut dan majikan pekerja asing berkenaan akan dikesan untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.
Mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 (AKTA 155), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang serta Antipenyeludupan Migran 2007.
Operasi yang dijalankan seperti berikut akan dilaksanakan secara berterusan di lokasi-lokasi panas yang menjadi tumpuan warga asing.
Baca juga: