Kerajaan MADANI terus mengekalkan inisiatif dalam mengekalkan bekalan beras putih dalam negara agar isu dan harga makanan ruji rakyat Malaysia terus kekal stabil di pasaran.
Ini merupakan perbincangan mengenai bekalan dan harga Beras Putih Tempatan (BPT) dalam pasaran domestik secara umumnya terkawal namun terhad dan rakyat terkesan dengan kenaikan harga Beras Putih Import (BPI) di pasaran global.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakkan tanggungjawab kepada Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) untuk menyelaras sesi libat urus secara terperinci mengenai isu ini secepat mungkin.
Katanya, hasil libat urus perlu dibentang dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada 20 Mac depan sebelum dipertimbang oleh Jemaah Menteri.
“Libat urus ini perlu mengambil kira harga belian padi, faktor bekalan, harga beras import dunia, kemampanan bekalan beras tempatan serta kesan kepada pengguna.
“Saya juga mengarahkan memperbanyakkan program jualan murah termasuk Jualan Rahmah, Jualan Agro Madani dan lain-lain untuk memudahkan rakyat membeli barangan keperluan harian dengan harga yang lebih rendah,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, Anwar turut menyatakan Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) juga bersetuju untuk mempertimbangkan semula penawaran harga BPI dalam pasaran domestik supaya BPI boleh dijual pada harga lebih rendah.
Anwar berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat NACCOL 2024 pada Jumaat.
Turut hadir, Menteri-menteri, Timbalan-timbalan Menteri, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian berkaitan serta Gabenor Bank Negara, wakil industri, wakil pengguna, wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan ahli akademik yang merupakan ahli-ahli NACCOL.
Baca juga: