Nasional

Serangan gajah liar, 200 pekebun alami kerugian

Seramai 200 pekebun di Kampung Sungai Rek, Kelantan dilanda kebimbangan apabila sekumpulan gajah liar memusnahkan hasil tanaman mereka sejak minggu lalu.

Menurut Rosdi Mohamad, 64, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM40,000 selepas ladang sawit miliknya seluas 5.6 hektar dirosakkan .

Jelasnya, lebih 850 pokok anak sawit yang baru ditanam pada hujung Januari lalu dirosakkan haiwan liar berkenaan.

“Bagi mengelakkan ancaman gajah liar, saya sudah memasang pagar serta kawat berduri di sekeliling ladang, namun ia tetap dapat diceroboh haiwan ini.

“Ketika waktu siang, gajah liar ini bersembunyi di hutan berdekatan dan masuk ke kawasan ladang pada waktu malam untuk merosakkan tanaman yang diusahakan penduduk di sini,” katanya.

Tambah Rosdi kehadiran haiwan itu turut mengundang kerunsingan pekebun lain yang mengalami kerugian.

“Malah, kebanyakan penduduk juga tidak berani ke kebun atau ladang untuk mencari rezeki kerana bimbang keselamatan diri, sekiranya mereka terserempak dengan gajah liar, apatah lagi kesan tapak kakinya juga berada di merata-rata di sekitar kawasan ladang.

“Penduduk di sini bergantung hidup dengan mencari rezeki sebagai pekebun dan penoreh dan punca pendapatan terputus kerana mereka takut ke kebun,” ujarnya.

Fauzi Abdullah, 52, turut terkesan dengan nasib yang sama dan mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas 250 pokok sawitnya dirosakkan gajah liar.

“Sebelum ini, saya menanam pokok getah, namun pada Julai tahun lalu saya mengusahakan tanaman kelapa sawit dan mengeluarkan modal sebanyak RM10,000 untuk membeli anak pokok selain kerja-kerja meratakan tanah.

“Bagaimanapun, kehadiran gajah liar pada minggu lalu di kawasan ladang melenyapkan keseluruhan pokok kelapa sawit yang ditanam diatas tanah berkeluasan 1.6 hektar,”

Lapor Harian Metro, Fauzi berharap agar Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dapat segera menghalau gajah liar ini daripada terus merosakkan tanaman penduduk.

Baca juga:

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close