Ahli Parlimen melampaui batas akan digantung 14 hari – Agong

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mahu Ahli Dewan menunjukkan contoh yang baik sepanjang persidangan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 berlangsung selama dua minggu di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

Baginda turut bertitah Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Yang Dipertua Dewan Negara mesti menjalankan tugas dengan tegas bagi memastikan semua ahli mematuhi peraturan, serta memberi kebenaran kepada Speaker untuk mengambil tindakan terhadap Ahli Dewan yang melampaui batas.

Antara tindakan yang boleh diambil terhadap Ahli Dewan yang masih ingkar ialah mereka dilarang memasuki dewan selama 14 hari.

“Parlimen adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun membuat peraturan dan Yang Berhormat semua adalah para penggubalnya. Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal itu sendiri gagal mematuhi peraturan yang dibuat.

“Saya harap semua Ahli Dewan jaga adab dan tatatertib serta gunakan tutur kata sopan dan bukannya memaki hamun orang lain,” titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 pada Isnin.

Sultan Ibrahim turut menyatakan rasa malu untuk masuk ke Dewan berkenaan jika melihat perangai Ahli Dewan dalam persidangan sebelum ini.

Berangkat sama, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah.

Persidangan Parlimen ke-15 bagi penggal ketiga bermula pada 26 Februari hingga 27 Mac depan buat mesyuarat pertama, 24 Jun hingga 18 Julai 2024 untuk mesyuarat kedua manakala 7 Oktober hingga 5 Disember bagi mesyuarat ketiga.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat