Filem romantik komedi, La Luna arahan M.Raihan Halim mengundang pelbagai kritikan dalam kalangan penonton, khususnya melibatkan agama Islam dan budaya masyarakat Melayu.
Tidak kurang juga pendakwah popular, Ustazah Asma’ Harun yang berpendapat filem tersebut mengandungi unsur pornografi ringan (soft porn), selain beberapa watak dilihat bertentangan dengan adab dan nilai dalam ajaran Islam.
“Banyak lagi babak lucah, menghina Islam dan jauh daripada norma melayu Islam secara teks dan subteks yang digambarkan dalam filem ini, sungguh ia sangat memalukan.
“Saya bukan orang islam bidang perfileman untuk menilai kualiti sesebuah filem, tapi saya tahu dan yakin, karya seni yang terbaik pasti akan berjaya menyampaikan maksud dalam dua pendekatan iaitu teks dan subteks.
“Mengapa filem ini dikatakan ada unsur menghina syariat Islam, mempromosi soft porn, merendahkan agamawan dan memberi persepsi buruk pada agama Islam,” tulisnya di Facebook.
Filem itu mengisahkan tentang seorang usahawan wanita bernama Hanie Abdullah lakonan Sharifah Amani yang membuka kedai pakaian dalam bernama La Luna di Kampung Bras Basah.
Kemunculan kedai tersebut secara tidak langsung membuatkan Ketua Kampung, Tok Hassan (Wan Hanfi Su) berasa tidak puas hati dan marah.
Tok Hassan kemudian berusaha pelbagai cara bagi memastikan perniagaan Hanie itu gagal sehinggakan dia sanggup membakar kedai terbabit.
Biarpun digelarkan sebagai ‘orang masjid’, namun Tok Hassan ternyata membelakangkan agama iaitu membiarkan suami memukul isteri dengan alasan menjaga aib keluarga, tidak membenarkan mendengar muzik, tidak membenarkan kandungan atau aktiviti hiburan di kampung, tidak boleh memasukkan unsur-unsur jenaka dalam ceramah agama, membunuh haiwan, memberi rasuah dan mempunyai perasaan hasad dengki.
Filem tersebut turut dibintangi oleh Shaheizy Sam, Hisyam Hamid, Nadiya Nisa, Nam Ron, Farah Ahmad dan Iedil Dzuhrie Alaudin diterbitkan Clover Films, ACT 2 Pictures, dan Papahan Films dengan sokongan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).
Filem La Luna ditayangkan di pawagam pada 9 November tahun lalu.
Baca juga: