Mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 akan bermula pada Isnin (hari ini) iaitu dengan mengadakan Mesyuarat Pertama bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Mesyuarat bermula dengan Istiadat Pembukaan di bangunan Parlimen pukul 10 pagi sekali gus menjadi titah pertama Baginda, Sultan Ibrahim sebagai Yang di-Pertuan Agong.
Berdasarkan takwim di laman web Parlimen, Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat akan diadakan selama 19 hari (sehingga 27 Mac), Mesyurat Kedua selama 15 hari (28 Jun hingga 18 Julai), dan Mesyuarat Ketiga selama 35 hari (7 Oktober hingga 5 Disember)
Sementara itu, bagi Dewan Negara, Mesyuarat Pertama diadakan selama 12 hari (19 Mac hingga 4 April), Mesyuarat Kedua selama lapan harii (22 Julai hingga 1 Ogos), dan Mesyuarat Ketiga selama 12 hari (27 November hingga 17 Disember).
Dewan Negara juga bakal menyaksikan Yang Dipertua baharu, Datuk Mutang Taga, pemimpin pertama dari etnik Lun Bawang yang dilantik ke jawatan itu, mempengerusikan mesyuarat.
Bekas Ahli Parlimen Bukit Mas itu menggantikan Tan Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang meletakkan jawatan, susulan dilantik Yang Dipertua Negeri Sarawak pada 26 Januari lalu.
Sementara itu, Dewan Rakyat dijadual membahaskan Usul Menjunjung Kasih titah Yang di-Pertuan Agong selama tujuh hari sehingga 7 Mac, diikuti jawapan oleh Menteri selama empat hari, (11 hingga 18 Mac).
Minggu keempat Mesyuarat Pertama Dewan Rakyat yang bermula 18 Mac pula akan menyaksikan rang undang-undang (RUU) dibentang dan dibahaskan, serta urusan kerajaan lain.
Antara RUU yang dijangka dibentangkan pada mesyuarat pertama adalah RUU penubuhan agensi tunggal kawalan negara (SBA).
Baca juga: