Kes pukul pemandu hingga maut, 5 penghantar makanan didakwa membunuh di mahkamah

Lima penghantar makanan yang dipercayai terlibat dalam kejadian pukul dan ikat seorang pemandu kereta minggu lalu didakwa di Mahkamah Majistret Bangi, pada Selasa membabitkan tuduhan membunuh. 

Tertuduh ialah Mohd Yuree rANOFF Mohd Bachuri, 41, Azharul Azuan Mohd Azan, 34, Tengku Izham Tengku Hamid, 22, Mahazir Nordin, 43, dan Syamsul Qamar Ayob, 40. 

Kesemuanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Nurdiyanah Mohd Nawawi. 

Bagaimanapun menurut laporan Sinar Harian, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada bawah bidang kuasa mahkamah tinggi. 

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa membunuh seorang pekerja sendiri, Shahril Samad, 41, di Jalan TPS 2/3 Taman Pelangi Semenyih 2, Beranang pada pukul 9.54 malam, 20 Februari lalu. 

Jika disabitkan kesalahan, Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun sama yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sekiranya tidak dihukum mati, hendaklah disebat sebanyak 12 kali. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Liyana Mohd Sulaiman manakala semua tertuduh diwakili peguam, Mohd Hafiz. 

Tiada jaminan diberikan dan mahkamah menetapkan 24 April depan untuk serahan status forensik, laporan kimia dan bedah siasat. 

Sebelum ini, seorang lelaki dilaporkan telah ditarik keluar dari kereta oleh sekumpulan orang awam selepas dipercayai terlibat dengan kemalangan. 

Malah, tangan mangsa turut diikat dan dipukul sehingga meninggal dunia. 

Insiden itu berlaku selepas mangsa yang memandu kereta jenis Proton Saga terlibat dalam kemalangan dengan penghantar makanan. 

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat