Pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun dengan berat hati terpaksa menutup pengusahaan kedai makan miliknya di Seremban, Negeri Sembilan ekoran tidak mampu menanggung kerugian lebih RM30,000 setiap bulan.
Menurutnya, pelbagai usaha telah dilakukan untuk menampung kerugian termasuklah membuat pinjaman, menjual aset-aset serta menggadaikan barang kemas.
Walaupun kedainya hanya beroperasi kurang tiga bulan terletak di kawasan strategik, harga kos bahan mentah yang semakin meningkat turut mempengaruhi dia membuat keputusan demikian.
“Setiap bulan kita negatif RM30,000. Contohnya, lepas sebulan kita berniaga, akauntan beritahu ada RM2,000 je dalam akaun.
“Habis itu berapa perlu untuk saya nak bayar gaji pekerja lagi?
“Akauntan pun beritahu bayar gaji pekerja nak dekat RM30,000. Bayar sewa pula kena cari lain. Kami buat macam mana, kami pinjam. Kami keluarkan simpanan ada, kami cairkan aset apa yang ada, semua kita jual.
“Barang kemas kita jual, simpanan kita keluarkan. Sampai bulan ini kami dah tiada apa-apa dah untuk kami tampung lagi. Ni bulan yang terakhir sebab kita nampak jualan masih sama,” katanya.
Tambahnya, dia tidak sanggup menaikkan harga makanan walaupun kos bahan mentah dan operasi semakin meningkat kerana enggan membebankan para pelanggan.
“Kita nak naikkan harga kita tak sanggup padahalnya kos operasi untuk restoran lagi-lagi ada makanan laut sangatlah tinggi. Harga barang sebenarnya sangat mahal sekarang, semua mahal,” luahnya.
Ekoran itu, Asma’ mencari mana-mana individu yang sanggup membeli perniagaan dan kedainya bagi memastikan tempat tersebut terjaga rapi.
Luahnya, antara faktor dirinya tidak dapat fokuskan kepada perniagaan restorannya itu juga adalah kerana jadual dakwahnya yang sangat padat.
“Sayang sangat tempat ni semua hiasan saya beli sendiri. Jadi mana-mana hamba Allah yang macam berminat nak beli perniagaan, boleh hubungi saya. Tempat ni sangat strategik.
“Mungkin boleh jadi kesuntukan masa saya dengan dakwah-dakwah dan urusan yang begitu banyak saya tak mampu nak beri fokus kepada kedai makan ni.
“Mengundur bukan maknanya mengalah. Kita bukan mengalah, tetapi terpaksa berhenti sekejap, bernafas supaya kita boleh berlari lagi,” katanya.
Baca juga: