Sindiket PATI tumpas, ‘transporter’ dibayar antara RM1,000 hingga RM1,200

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah berjaya menumpaskan satu sindiket Pemerdagangan Manusia dalam satu Operasi Khas yang dilaksanakan pada Rabu lalu, membabitkan beberapa lokasi di sekitar Kubang Kerian, Kelantan.

Operasi dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan dijalankan sejak awal Februari, pasukan JIM berjaya mengesan sebuah kenderaan MPV yang dipercayai transporter di laluan Kubang Kerian ke Pasir Puteh.

Datuk Ruslin Jusoh selaku Ketua Pengarah Imigresen Malaysia berkata, pasukan operasi bertindak mengarahkan pemandu memberhentikan kenderaan untuk pemeriksaan.

“Ketika operasi dijalankan, pemandu telah menyedari diekori pihak berkuasa lalu bertindak memecut kenderaan untuk melepaskan diri, namun tindakan pantas pasukan taktikal khas (PASTAK) yang menyertai operasi berkenaan berjaya menyekat kenderaan berkenaan di kawasan Simpang Tiga, Jalan Bukit Marak/Jalan Peringat, Bachok.

“Pemeriksaan lanjut mendapati MPV berkenaan dipandu oleh seorang lelaki warganegara Malaysia yang disyaki transporter. Turut dijumpai seramai enam orang PATI berumur antara 17 hingga 25 tahun yang terdiri daripada tiga orang lelaki dan tiga orang perempuan warganegara Myanmar.

“Mereka juga dipercayai dalam perjalanan dari rumah penampungan menuju ke destinasi tertentu yang telah ditetapkan oleh sindiket,” katanya.

Hasil soal siasat turut mendapati transporter telah membawa pasukan ke sebuah premis di sekitar Demit, Kota Bharu yang dipercayai digunakan sebagai sebuah rumah penampungan.

Susulan itu, pasukan menahan seorang lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an disyaki penjaga rumah tersebut. Wang sebanyak RM4,500 turut dirampas serta sebuah telefon bimbit untuk tujuan siasatan lanjut.

Tambah Ruslin lagi, siasatan awal mendapati sindiket telah mengubah Modus Operandi dengan menghindari terminal pengangkutan awam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Mereka menggunakan rumah penampungan untuk menempatkan sementara PATI yang baru diseludup dari sempadan sebelum dipindahkan menggunakan transporter ke destinasi tertentu sekitar Seremban dan Kuala Lumpur.

“Transporter akan dibayar antara RM1,000 hingga RM1,200 bagi setiap pergerakan tertakluk kepada jarak perjalanan,” katanya lagi.

Kesemua PATI dan warganegara Malaysia yang ditahan dalam kejadian tersebut telah dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa JIM Kelantan di Kota Bharu untuk tindakan lanjut, manakala kenderaan Perodua Aruz yang digunakan dalam kegiatan itu disita untuk tujuan siasatan.

Jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Baca lagi:

Anda Mungkin Berminat