Sembilan pekerja kilang termasuk lima warga China ditahan selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Kota Kinabalu, Sabah pada Selasa.
Kejadian yang turut tular di platform X itu dilaporkan berlaku dihadapan sebuah kilang milik syarikat luar negara kira-kira pukul 5.30 petang.
Pergaduhan membabitkan pekerja kilang itu dipercayai berpunca daripada seorang pekerja China yang didakwa melanggar bahu seorang lagi pekerja tempatan.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, berdasarkan laporan polis dan siasatan yang dijalankan, kesemua suspek berjaya ditahan pada pukul 3.30 pagi.
Katanya, tangkapan membabitkan empat lelaki tempatan dan lima warga asing untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Hasil siasatan awal, kejadian dikatakan berlaku ketika pekerja berbaris untuk mendaftar keluar menggunakan cap jari selepas tamat masa bekerja.
“Salah seorang suspek warga China dikatakan melanggar bahu seorang pekerja tempatan namun ia tidak langsung diendahkan.
“Bagaimanapun, seorang lagi pekerja warga China tiba-tiba menjerit dan menunding jari ke arah pekerja tempatan terbabit sebelum mengajaknya keluar untuk bergaduh di luar kawasan kilang sambil memegang sebatang kayu,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, pekerja tempatan terbabit sekali lagi tidak mengendahkan ajakan pekerja asing berkenaan namun sebaik berada di luar kilang, mangsa tiba-tiba ditumbuk daripada belakang.
“Pergaduhan turut membabitkan penggunaan kayu dan besi yang dipercayai diambil dari kawasan luar kilang berkenaan.
“Pergaduhan berjaya dileraikan oleh pengawal keselamatan serta pekerja kilang lain. Setakat ini tiada sebarang kecederaan serius dilaporkan membabitkan kedua-dua pihak,” katanya.
Baca juga: