Kekeliruan antara penggunaan nama kumpulan rock negara, XPDC semakin hangat diperkatakan apabila wujud satu lagi kumpulan yang menggunakan nama berkenaan selain XPDC Militia dan XPDC Kita Peng Yu.
Pemain dram XPDC Militia, Lola, menyatakan bahawa kumpulan berkenaan perlu meminta kebenaran dengan Life Records sebelum sewenang-wenangnya menggunakan nama berkenaan.
“Tidak perlulah menggunakan nama XPDC, sebaiknya mereka menggunakan nama kumpulan mereka yang tersendiri.
“Kumpulan tersebut juga tidak dianggotai oleh ahli kumpulan asli yang pernah menganggotai XPDC sebelum ini, maka tidak relevan untuk turut menggunakan nama kumpulan kami,” katanya ketika sidang media Loop Music Festival di Sheraton Imperial, Kuala Lumpur pada Selasa.
Lola berkata demikian ketika diminta megulas mengenai dua kumpulan XPDC ini mempunyai ahli asal kumpulan berkenaan, manakala satu lagi kumpulan XPDC tersebut tidak terdiri daripada mana-mana ahli asli.
Perkara itu lantas dapat dibuktikan kerana XPDC Militia dianggotai oleh ahli asal XPDC iaitu Izo sebagai pemain gitar.
Pemain gitar bes XPDC Militia, Eddie turut menyatakan bahawa mereka memilih untuk menganggap kumpulan berkenaan sebagai ‘tribute band’ yang menyanyikan lagu-lagu XPDC.
Dalam perkembangan lain, XPDC Militia akan mengadakan persembahan sebagai salah satu barisan penyanyi yang bakal membuat persembahan di Loop Music Festival bertempat di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 11 Mei depan.
Festival berkenaan turut menyajikan barisan penyanyi popular lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Masdo dan ramai lagi.
Baca juga: