Kenaikan cukai tidak menjejaskan keperluan asas rakyat

Peningkatan kadar Cukai Perkhidmatan sebanyak 2 peratus iaitu dari 6 ke 8 peratus bermula 1 Mac tidak akan membebani rakyat, sebaliknya perkara itu akan memberikan kelebihan.

Kenaikan cukai itu menumpukan kepada aktiviti berkaitan perkhidmatan kemahuan (discretionary) dan aktiviti antara perniagaan (business to business).

Menurut Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, usaha tersebut merupakan transformasi ekonomi kerajaan mengambil pendekatan yang berhati-hati dalam usaha mereformasi sistem percukaian negara.

Katanya, perkara itu bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kadar cukai kepenggunaan yang lebih tinggi khususnya dalam perkhidmatan keperluan penting seperti makanan dan minuman parkir kenderaan, telekomunikasi serta logistik.

“Meskipun adanya keperluan untuk mengembangkan hasil negara, kerajaan perlu menimbangkan ini dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan.

“Kerajaan perlu memperluaskan cukai demi memperkukuh asas fiskal negara ke arah pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan seperti mana digariskan di bawah kerangka Ekonomi MADANI.

“Kerajaan perlu menimbangkan ini dengan mengambil kira keperluan melindungi rakyat daripada beban berlebihan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya, kerajaan turut giat untuk melaraskan semula trajektori ekonomi negara merangkumi amalan perbelanjaan yang berhemat, mengurangkan ketirisan serta menarik pelabur langsung asing (FDI).

“Sistem percukaian yang ditambah baik dijangka meraih tambahan hasil yang dianggarkan sebanyak RM3 bilion kepada negara.

“Hasil tambahan ini dapat dimanfaatkan untuk menambah baik bantuan bersasar kepada rakyat selain
memperbanyak penambahbaikan dan penyelenggaraan prasarana awam kritikal seperti kesihatan, sekolah dan jalan raya,” katanya.

Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2024 yang telah diwartakan pada 23 Februari 2024, semua perkhidmatan bercukai yang disenarai dalam Jadual Pertama, Peraturan-peraturan Cukai Perkhidmatan 2018 akan dikenakan Cukai Perkhidmatan pada kadar 8 peratus.

Cukai Perkhidmatan turut diperluas bagi menyelaras dan memberi layanan cukai sama rata ke atas perkhidmatan tertentu dalam industri yang sama seperti pusat karaoke yang berunsur hiburan akan dikenakan Cukai Perkhidmatan sebanyak 8 peratus, sama seperti pusat hiburan kelab malam, dewan tari menari, kabaret dan pusat kesejahteraan.

Sebaliknya, cukai tidak melibatkan keperluan asas pengguna melibatkan gaya hidup rakyat seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, parkir kenderaan kekal dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6 peratus.

Ia termasuk perkhidmatan logistik yang akan dikenakan cukai perkhidmatan pada kadar 6 peratus sementara perkhidmatan penghantaran makanan dan minuman, Cukai Perkhidmatan tidak akan dikenakan.

Baca juga: