Lelaki warganegara Rohingya jadi ‘tekong darat’ bawa masuk PATI ditahan di Kelantan

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu Operasi Khas pada 24 Februari, Rabu, di sekitar Kota Bharu, Kelantan.

Operasi yang melibatkan 12 orang anggota dari Pasukan Taktikal Khas Imigresen (PASTAK) Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya serta JIM Kelantan itu menyaksikan penangkapan ‘tekong darat’ sindiket terbabit.

Menurut Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh, pihaknya bertindak berdasarkan maklumat risikan dan berjaya mengesan suspek di sebuah stesen minyak berhampiran Wakaf Che Yeh.

“Lanjutan itu, pasukan bertindak mengepung kenderaan suspek dan suspek yang menyedari kenderaannya dihampiri oleh pihak berkuasa bertindak memecut kenderaan lalu berlaku pelanggaran kecil dengan kenderaan pasukan operasi.

“Tindakan pantas anggota PASTAK berjaya menahan suspek yang dikenali sebagai Ali berketurunan etnik Rohingya dan dipercayai dalang utama sindiket itu,” jelasnya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, pemeriksaan lanjut ke atas kereta Perodua Kelisa yang dipandu suspek, menemui tiga orang wanita dan seorang lelaki warganegara Myanmar berumur antara 19 hingga 21 tahun.

Tambah Ruslin, kesemua mereka dipercayai berhenti di stesen minyak berkenaan yang dijadikan lokasi menunggu bas ekspres sebelum dihantar ke Kuala Lumpur.

“Susulan itu, pasukan turut bergerak memeriksa rumah merupakan kediaman Ali serta menemui sepucuk pistol angin. Selain itu, pasukan telah menyerbu sebuah rumah di sekitar Pengkalan Kubor, Kota Bharu.

“Setibanya di lokasi, hasil serbuan berjaya menangkap seorang lelaki keturunan Rohingya dikenali sebagai Rahim yang disyaki orang kanan kepada Ali.

“Berdasarkan pemeriksaan lanjut, kami telah menahan empat orang lelaki warganegara Myanmar berumur lingkungan 16 hingga 27 tahun dan merampas sebuah kereta Perodua Viva yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” jelasnya.

Siasatan awal mendapati modus operandi sindiket membawa masuk PATI warganegara Myanmar melalui laluan haram di sempadan pada waktu malam.

PATI kemudian ditempatkan di rumah penampungan sebelum dipindahkan ke Kuala Lumpur menggunakan bas ekspres bagi mengaburi pihak berkuasa.

Sindiket itu difahamkan telah beroperasi selama enam bulan dan mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM1,000 untuk seorang Pati.

Kesemua 10 orang PATI termasuk dua lelaki etnik Rohingya yang disyaki tekong darat dibawa ke pejabat JIM Kelantan bagi tujuan siasatan.

Manakala, kedua-dua buah kereta yang digunakan dalam kejadian tersebut telah disita untuk tindakan lanjut jabatan.

Oleh itu, jabatan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.

Baca juga: