Selesa bergerak solo, Ronnie akui tetap jalin hubungan baik dengan ahli Hyper Act

Bekas vokalis kumpulan Hyper Act, Ronnie Hussein mengakui dirinya kini bergerak solo, namun tetap memelihara hubungan baik dengan bekas anggota band terbabit.

Ronnie atau nama sebenarnya, Shahron Hussein, 42, menyatakan bahawa dia dan Hyper Act sudah berubah haluan sejak 2016 dan kumpulan itu sudah menukar vokalis yang terbaharu beberapa kali selepas itu.

Tambahnya, penglibatan dirinya dalam Konsert Reunion Hyper Act 15 Years Journey pada 3 Februari lalu adalah atas tujuan reunion semata-mata dan tidak melibatkan dirinya menyertai kumpulan itu semula.

“Sekiranya saya diberi tawaran untuk membuat persembahan yang memerlukan band, saya akan memberi tawaran itu kepada Hyper Act terlebih dahulu sebelum diberi kepada band lain.

“Hubungan saya dan ahli kumpulan Hyper Act memang baik, kami tidak mempunyai masalah sesama kami,” katanya ketika sidang media Loop Music Festival di Sheraton Imperial, Kuala Lumpur pada Selasa.

Dalam perkembangan lain, Ronnie merupakan salah seorang daripada barisan penyanyi yang bakal membuat persembahan Loop Music Festival bertempat di Axiata Arena, Kuala Lumpur pada 11 Mei depan.

Selain Ronnie, festival berkenaan turut menyajikan barisan artis tempatan popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, XPDC dan ramai lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat