Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (Draf PTKL 2040) yang telah diluncurkan pada Selasa, 30 Januari lalu merupakan kerangka utama terhadap pelan pembangunan Kuala Lumpur.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa, pelan pembangunan itu disediakan bagi menterjemah visi serta matlamat yang digariskan dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL 2040), telah diwartakan pada 19 Oktober tahun lalu.
“Draf PTKL 2040 ini secara khususnya memberikan penekanan terhadap perancangan cadangan zon guna tanah dan intensiti pembangunan secara spesifik ke atas setiap lot tanah di Kuala Lumpur.
“Selain itu, orang ramai juga dipelawa memberi sebanyak mungkin pandangan, cadangan serta idea terhadap kandungan Draf PTKL 2040 tersebut, melalui penglibatan awam sebelum diwartakan,” katanya menerusi akaun Facebook beliau.
Zaliha turut berkata, sesi pandangan awam tersebut seperti dijadualkan akan tamat pada 1 Mac tahun ini dan berharap agar lebih ramai mengambil bahagian dalam sesi penglibatan awam Draf PTKL 2040 ITU.
“Saya mengalu-alukan lebih ramai pemegang taruh, termasuk wakil agensi kerajaan, swasta, industri, NGO mahupun warga kota untuk mengambil bahagian dalam sesi penglibatan awam tersebut.
“Sehubungan itu saya telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh penglibatan awam bagi Draf PTKL 2040 ini selama satu bulan lagi, bermula 2 Mac hingga 1 April 2024.
“Pelanjutan tempoh itu bertujuan bagi mendapatkan lebih banyak pandangan awam dan memastikan Draf PTKL 2040 ini lebih komprehensif sebelum diwartakan,” katanya lagi.
Oleh itu, orang awam boleh terus menghadiri sesi pameran Draf PTKL 2040 di Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) serta mengemukakan permohonan sekiranya terhadap keperluan untuk mengadakan sesi taklimat atau penjelasan di laman sesawang ppkl.dbkl.gov.my/e-pandangan.
Baca juga: