Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) optimis menangani isu pekerjaan di bawah kelayakan (underemployment), dengan melaksanakan strategi melalui jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk kementerian, agensi dan industri.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, KPT mempergiatkan usaha dengan pelbagai pihak bagi menangani isu pekerjaan di bawah kelayakan.
“Usaha tersebut merangkumi usaha mempergiat kolaborasi bersama industri melalui platform-platform seperti Majlis Pekerjaan Negara dan Majlis TVET Negara (MTVET).
“Hal ini bertujuan membincangkan isu-isu ketidaksepadanan penawaran dan permintaan tenaga buruh serta menyediakan ruang dan peluang bagi membincangkan isu-isu kebolehpasaran graduan termasuk “underemployment,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Sementara itu, KPT turut mengadakan kerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO) melalui program seperti Portal MyFutureJobs bagi padanan pekerjaan; serta menyertai Program Karnival Kerjaya (Job Fair).
“Selain PERKESO, KPT turut memeterai persefahaman dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) pada tahun 2023 berhubung kerjasama untuk menjayakan Program Graduan Pasaran Modal yang menyediakan pakej latihan lengkap dan bernilai tinggi yang mampu meningkatkan kebolehpasaran graduan dalam industri pasaran modal dan sekuriti negara,” ujarnya lagi.
Dalam pada itu, KPT turut mengambil inisiatif membangunkan portal Graduates Reference Hub for Employment and Training (GREaT).
Difahamkan, GREaT ini menyediakan perkhidmatan pencarian dan padanan pekerjaan, permohonan latihan industri, permohonan kemudahan penajaan dan bantuan kewangan melanjutkan pengajian, perkhidmatan untuk mendapatkan kaunseling kerjaya dan e-profiling.
Baca juga