Pekerja ladang warga asing curi motosikal ditahan

Seorang lelaki warga asing disyaki terlibat dalam kes curi motosikal ditahan oleh pasukan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah, Sarawak pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superintendan Muhamad Rizal Alias berkata, suspek berusia 38 tahun itu merupakan pekerja ladang ditangkap pada pukul 4 petang.

“Pada awalnya, suspek dilihat menunggang sebuah motosikal tanpa nombor pendaftaran di hadapan pintu masuk kawasan ladang di Mukah.

“Hasil pemeriksaan mendapati motosikal yang ditunggang telah dilaporkan hilang di daerah Sibu pada 16 Februari lalu.

“Ekoran daripada tangkapan itu, dua buah motosikal yang dilaporkan hilang di Kampung Sungai Alo pada 26 Februari dan kawasan rumah panjang Selangau pada 27 Februari lalu  berjaya ditemui,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Rizal berkata kedua-dua motosikal tersebut diletakkan di hadapan rumah pekerja ladang tersebut.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini sehingga 4 Mac depan bagi melengkapkan siasatan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan.  Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tempoh tidak kurang satu tahun atau tidak lebih tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya.

Menerusi tangkapan itu, IPD Mukah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tiga kes curi motosikal yang dilaporkan sebelum ini.

Baca juga: