Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan bantu elak rakyat tertipu dengan harga mahal

Sebanyak 5,904 kes dengan nilai kompaun dan denda berjumlah RM1,466,600 dikeluarkan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sepanjang 2023.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia, Fuziah Salleh mengenai undang-undang antipencatutan terpakai ke atas semua perniagaan yang menjual barangan atau menyediakan perkhidmatan di Malaysia, termasuk pengilang, pengedar, pemborong, peruncit dan penyedia perkhidmatan.

Katanya, undang-undang itu memperuntukkan dua kaedah kawalan dan digubal untuk mengawal harga barangan dan perkhidmatan serta mencegah amalan pencatutan oleh perniagaan.

“Kaedah penentuan harga maksimum bagi barang-barang yang dikawal sepanjang masa dan juga perayaan.

“Ia juga mengawal selia dari aspek anti pencatutan iaitu bagi mencegah mana-mana pihak yang mengambil kesempatan bagi barang-barang yang tidak dikawal harganya,” katanya dalam jawapan tertulis bagi menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias mengenai penguatkuasaan akta sedia ada yang didakwa masih menyaksikan harga barang tidak dapat dikawal.

Tambah Fuziah, aktiviti pencatutan merupakan aktiviti tidak bermoral oleh penjual untuk meraih keuntungan yang berlebihan dan tidak munasabah.

“Pencatutan ini boleh terjadi di mana-mana peringkat rantaian nilai oleh penjual yang tidak beretika sekiranya tidak dipantau,” ujarnya.

Undang-undang antipercatutan terpakai ke atas semua perniagaan yang menjual barangan atau menyediakan perkhidmatan di Malaysia, termasuk pengilang, pengedar, pemborong, peruncit dan penyedia perkhidmatan.

Akta berkenaan dianggap masih relevan sehingga ke hari ini selain menjadi mekanisme untuk melindungi pengguna.

Baca juga: