Jemaah yang mengerjakan haji dan umrah dinasihatkan agar tidak menjadikan aktiviti merakam gambar dan video di hadapan Kaabah sebagai satu trend sekali gus memuat naik ke media sosial.
Perkara itu turut melibatkan perbuatan menyentuh Hajar Aswad yang disunatkan dalam ibadah itu.
Kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, perbuatan mencium Hajar Aswad itu merupakan ibadah, tetapi perbuatan tersebut adalah sunat.
“Agak janggal bila ibadah yang suci dan mulia itu dirosakkan dengan telefon pintar yang diangkat untuk merakam video dan gambar, bukan pada masanya.
“Saya juga lihat perkembangan mutakhir ini, ramai memuat naik video sedang menyentuh Kaabah atau Hajar Aswad di media sosial.
“Jika ia hanya sekadar trend untuk meraih tontonan ramai, tinggalkanlah trend yang merugikan itu,” katanya dalam satu kenyataan di X.
Beliau turut menegaskan bahawa, sekiranya perkara tersebut dibuat, perbuatan berkenaan boleh mengakibatkan hukum mencium Hajar Asward haram.
“Tawaf adalah satu ibadah, sebagaimana mencium hajar aswad juga adalah ibadah.
“Beza keduanya adalah, tawaf itu wajib dan mencium Hajar Aswad adalah sunat.
“Jika sampai menyebabkan masalah, kesakitan kepada diri sendiri dan orang lain, atau membahayakan, hukum mencium Hajar Aswad adalah haram.
“Cukup sekadar berisyarat dengan lambaian tangan dan mencium tangan, sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikhul Islam Zakariyya al-Ansari,” katanya.
Sebelum ini, tular video seorang pempengaruh dan usahawan berhimpit-himpit dengan orang ramai di hadapan batu Hajar Aswad.
Tindakannya itu rata-rata menerima pelbagai reaksi dikalangan netizen kerana dianggap seperti tidak wajar sama sekali terutamanya apabila berada di tempat suci.
Video yang berdurasi 1 minit 47 saat yang tular di media social itu memaparkan pempengaruh itu sedang berhimpit dan cuba memberikan ruang buat pekerjanya mencium batu Hajar Aswad sehingga kain ihramnya terbuka.
Baca juga: