Sebanyak tiga buah rumah hangus dijilat api dalam satu kebakaran di Jalan Utama, Taman Rasa Sayang, Jitra, Kedah pada Ahad.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra, Pegawai Bomba Kanan 1 Sezali Hassan berkata, BBP Jitra telah menerima panggilan kecemasan kebakaran rumah melalui talian MERS kira-kira pukul 8.46 malam.
“Kebakaran tersebut membabitkan tiga buah rumah berkeluasan 20×40 kaki setiap unit.
“Rumah pertama mengalami kemusnahan sebanyak 80 peratus, manakala dua lagi rumah mengalami kebakaran sebanyak 20 peratus dan 8 peratus.
“Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau memberitahu, pasukan Bomba melakukan operasi pemadaman menggunakan sumber air daripada dua jentera FRT.
Sementara itu, operasi pemadaman turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela Tunjang dan Padang Sera.
Difahamkan, kebakaran dapat dikawal pada pukul 9.01 malam dan kerja-kerja pembersihan telah dijalankan sehingga selesai.
Baca juga: