Dewan Rakyat hari ini kecoh sekali lagi apabila Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib daripada Perikatan Nasional enggan menarik semula kenyataan yang dikemukakannya ketika persidangan Dewan Rakyat yang membantah pencalonan tujuh Kampung Baru untuk diangkat sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (UNESCO) oleh Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ismail membangkitkan isu 3R (kaum, agama, institusi diraja) dengan berkata, tindakan mengiktiraf Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan UNESCO menyebabkan orang Melayu terpengaruh dengan ideologi komunis.
“Kenyataan yang saya beri adalah berdasarkan fakta sejarah yang mengatakan penubuhan Kampung Baru pada zaman dahulu adalah untuk memindahkan golongan Cina dan Melayu daripada terpengaruh dengan propaganda komunis.
“Saya tidak mengeluarkan kenyataan yang berunsur perkauman, kerana penubuhan kampung baru ini juga melibatkan kaum Melayu dan saya tidak berasa sensitif mengenainya kerana ia merupakan fakta yang termaktub dalam sejarah,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen pada Selasa.
Ismail berkata, dirinya menolak pencalonan kampung baru itu kerana ia seolah-olah mengiktiraf penapakan komunis dalam negara pada zaman pra-merdeka dahulu.
Turut menyokong kenyataan Ismail ialah Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang mengatakan bahawa respons Ahli Parlimen kerajaan agak mendukacitakan dan tidak matang dalam berbahas.
“Apa yang disampaikan oleh Yang Berhormat Maran (Ismail) ini bukanlah tuduhan, kerana ia berteraskan fakta sejarah.
“Pihak kerajaan sepatutnya kaji sejarah terlebih dahulu sebelum memilih untuk menuduh Ismail sebagai tidak sensitif terhadap isu 3R,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Fayhsal turut mencabar pihak kerajaan untuk meminda sukatan pelajaran sejarah di sekolah sekiranya fakta sejarah yang dikemukakan oleh pihak pembangkang itu tidak boleh diterima.
“Saya cabar pihak Kementerian Pendidikan untuk meminda sukatan pelajaran subjek sejarah tingkatan empat dan lima di sekolah menengah sekiranya mereka tidak setuju dengan fakta ini dan kemukakan fakta sejarah yang baharu,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming, mencalonkan tujuh kampung baru di Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka dan Johor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Baca juga: