Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) komited membangunkan latihan berasaskan TVET dalam sektor agrikomoditi untuk menarik lebih ramai warga tempatan untuk menceburi bidang minyak sawit dan menangani kebergantungan tenaga asing.
Timbalan Menterinya, Datuk Chan Chan Foong Hin menyatakan inisiatif KPK melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) telah membangunkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang membuka laluan kerjaya yang lebih baik kepada golongan muda yang menyertai TVET sektor agrikomoditi.
“Kementerian dan IMPAC telah menjalankan projek rintis bersama Sime Darby Plantation dan Yayasan Pahang Advanced Skills (YPAS) untuk membuka peluang pekerjaan kepada belia yang berkebolehan dan memiliki pengalaman dalam bidang spesialisasi mesin.
“Program ini turut mempunyai objektif untuk menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan bernilai tinggi dalam bidang Machine Specialist di sektor perladangan sawit,” katanya.
Dalam pada itu, Chan turut berkata Simes Darby Plantation turut menyasarkan 100 peratus penggunaan tenaga kerja tempatan di ladang kecuali kerja menuai buah kelapa sawit menjelang 2027.
Chan berkata demikian melalui jawapan bertulis bagi menjawab soalan tambahan Vivian Wong Shir Yee mengenai rancangan kementerian untuk menarik lebih ramai orang tempatan untuk ceburi bidang sawit dan tidak bergantung kepada tenaga asing.
Baca juga: