Usaha pencarian pesawat MH370 bakal diteruskan, sinar baharu buat keluarga mangsa

Insiden kehilangan pesawat penerbangan Malaysia Airlines, MH370 pada 10 tahun lalu bagaikan tidak berkesudahan dan kini bakal memasuki fasa baharu.

Pelbagai usaha melibatkan beberapa negara turut giat dilaksanakan dengan harapan dapat membawa khabar gembira buat keluarga mangsa terlibat.

Menerusi Majlis Memperingati 10 Tahun MH370, kerajaan mengumumkan bersedia untuk menjalankan semula pencarian pesawat itu memberi harapan baharu kepada waris penumpang dan anak kapal untuk merungkai kebenaran.

Sebelum ini, kerjasama pencarian pesawat disumbangkan oleh negara Malaysia, Australia dan Cina selama dua tahun berakhir pada Januari 2017 yang memperuntukkan sebanyak AS$130 juta (RM613 juta) bagi pencarian tanpa jawapan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, firma penerokaan dasar laut Amerika Syarikat Ocean Infinity telah dijemput untuk membincangkan cadangan carian terbarunya selepas dua percubaan pencarian gagal sebelum ini.

“Kerajaan Malaysia sangat komited untuk mencari semula pesawat MH370 dan pencarian mesti diteruskan,” katanya.

Terdahulu, penerbangan MH370, sebuah Boeing 777 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal , hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat