Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari daripada Bersatu menyatakan sokongan kepada kepimpinan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Abdul Rashid hari ini berkata, keputusan ini dibuat dengan rela hati tanpa sebarang paksaan.
“Saya meneliti Titah Ucapan DYMM Sultan Selangor yang memuji pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang berada di landasan yang tepat.
“Langkah ini juga adalah akibat daripada tindakan Perikatan Nasional Selangor yang dilihat berdiam diri terhadap tomahan yang dilontarkan kepada Raja-Raja Melayu,” katanya dalam satu kenyataan media.
Tambahnya lagi, tindakan Perikatan Nasional dilihat berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam.
Beliau juga berkata, keputusan itu dibuat adalah untuk memastikan kesejahteraan rakyat negeri Selangor terutama penduduk di kawasan Selat Klang.
“Tindakan ini adalah untuk memastikan kawasan Selat Klang dapat terima manfaat dari kerajaan yang stabil serta padu,” ujarnya.
Beliau bagaimanapun menyatakan akan tetap kekal komited sebagai ahli Bersatu dan akan terus berkhidmat sebagai ADUN N44 Selat Klang.
Baca juga: