Perluaskan Program Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi jadi sasaran – Zambry

Tujuh negara bersetuju menjalin kerjasama dengan Malaysia untuk melebarkan program pengantarabangsaan pendidikan tinggi, ujar Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Zambry berkata persetujuan tersebut dicapai selepas beliau bertemu bekas rakan sejawat semasa, ketika menghadiri Antalya Diplomacy Forum (ADF) 2024 di Antalya, Turkiye.

Menurutnya, sepanjang menghadiri ADF itu, beliau telah mengadakan lapan mesyuarat dua hala dengab Menteri Luar Negara berkenaan dengan pelbagai perkara dibincangkan termasuk berkaitan pendidikan tinggi negara itu.

“Persetujuan dicapai dengan semua negara ini bagi kita melebarkan program pengantarabangsaan pendidikan tinggi negara dari segi pertukaran pelajar, pensyarah, penyelidikan dan juga bidang-bidang tumpuan yang boleh dipelopori bersama,” katanya dalam kenyataan.

Zambry turut menyatakan negara seperti Iraq dan Libya juga bersedia menawarkan biasiswa lebih besar untuk pelajar mereka datang ke Malaysia.

Tambahan lagi, beliau juga turut menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran persefahaman di antara Universiti Utara Malaysia dengan lima universiti di Turkiye iaitu Universiti Karabuk, Universiti Ankara Yildirim Beyazit, Universiti Dicle, Universiti Gebze Technical dan Universiti Mardin Artuklu.

“Usahasama ini sangat baik terutamanya dalam negara ini membina rangkaian pendidikan dengan institusi antarabangsa dan pada masa sama proses perkongsian dan pemindahan ilmu serta kemahiran dpat berlansung melalui pelbagai medium,” katanya.

Malaysia turut diberi penghormatan untuk menjadi panelis bagi sesi yang bertajuk, Building Asia- Pasific Regional Architectures: The Challenge of Unmatching Interest pada program yang dihadiri lebih 4,000 delegasi dari 100 negara.

Zambry turut menyampaikan pandangan Malaysia dan Perdana Menteri berkenaan isu Asia Pasifik yang semakin menjadi perhatian kuasa-kuasa besar dunia.

“Saya menegaskan bahawa Malaysia mahukan sebuah rantau yang bebas daripada sebarang kongkongan mana-mana pihak serta mengambil pendirian untuk bekerjasama dengan semua pihak demi tujuan menjaga kestabilan rantau,” katanya.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/03/05/113-program-madani-akan-dilaksanakan-di-labuan-sepanjang-2024/

Anda Mungkin Berminat