2 cedera tercampak main ‘sotong ride’ di Likas

Dua pengunjung sebuah taman tema cedera selepas terhumban keluar dari alat permainan di satu tapak pesta ria berhampiran Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu, pada Rabu.

Berdasarkan rakaman tular di aplikasi X, mangsa seorang lelaki dan wanita dewasa itu dipercayai terjatuh dari permainan Sotong Ride yang bergerak.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu, Timbalan Penguasa Bomba I Ordine Gilu, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 8.58 malam.

Katanya, sepasukan anggota termasuk pegawai bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) diarah ke lokasi kejadian.

“Mangsa diberi rawatan awal oleh anggota EMRS sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Menerusi sebuah hantaran di Facebook milik Nur Syahirah Jen, rata-rata pengunjung yang pernah hadir ke pesta ria terbabit mengarahkan agar permainan ‘sotong ride’ itu ditutup.

“Memang laju sotong ride tu, minggu lepas datang nasib baik tengok sahaja, tak tenang hati nak naik,” kata Faiq Fairuz.

“Boleh tutup dah Fun Fair ni, membahayakan orang awam, jangan fikir untung ja, fikir juga keselamatan pengunjung yang hadir,” kata Jam Ejam.

Bagaimanapun menurut polis, operasi tamat sekitar pukul 9.40 malam.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat