Guna mesin layan diri, elak pekerja muslim kerja di premis jual arak

Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) mengemukakan cadangan supaya kedai serbaneka menggunakan mesin layan diri untuk menjual minuman beralkohol, supaya pekerja beragama Islam tidak perlu mengendalikan produk berkenaan kepada pelanggan.

Menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Islam, Zulkifli Hasan, kerajaan sentiasa menerima idea-idea tambahan yang boleh membantu menangani kebimbangan umat islam yang terpaksa mengendalikan minuman berakohol di tempat kerja yang dianggap sebagai haram dalam Islam.

“Idea dan juga seperti dimaklumkan YB Pulai itu sangat kita hargai dan kita akan cuba bawa untuk dibincangkan di peringkat-peringkat yang berkaitan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pagi tadi.

Selain menggerakkan kempen kesedaran, Zulkifli memberitahu Dewan Rakyat bahawa Jakim turut membantu pekerja Islam yang ingin keluar daripada industri yang menjual arak.

“Kita juga membantu mereka ini yang sedang berusaha mencari jalan keluar daripada bekerja di premis arak ini untuk mendapatkan bantuan sementara dari pusat zakat, dari majlis agama Islam sehingga mereka ini boleh mendapat pekerjaan sesuai menerusi program-program pembangunan asnaf, keusahawanan, dan aspek kemahiran,” katanya.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan rasa kebimbangannya melihat umat Islam yang terpaksa bekerja di rangkaian kedai serbaneka dan mengendalikan penjualan produk tersebut.

Diafahamkan, JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri seperti Jabatan dan Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Mufti Negeri dan lain-lain akan terus menggandakan usaha dakwah bagi memastikan akidah, syariah dan akhlak umat Islam sentiasa terpelihara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat