Penyanyi dan komposer terkenal, Ajai buat julung kali bakal mengadakan konsert pertamanya di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 3 Ogos depan.
Konsert yang diberi nama ByAjai and Mega Friends itu turut akan memperlihatkan kemunculan barisan selebiriti popular seperti Dayang Nurfaizah, Hafiz Suip, Aina Abdul, Hazama dan Aufahanie.
Kata Ajai atau nama sebenarnya Mohamad Faizal Maas, 48, pemilihan selebriti tersebut dibuat berdasarkan pengalaman kerjasama dalam pembikinan lagu.
“Lebih daripada 20 lagu hit yang saya cipta akan dinyanyikan dalam konsert yang dijangka akan berlangsung selama dua jam 30 minit ini.
“Saya menjangka lebih daripada 5,000 pengunjung akan menghadiri konsert ini kerana kesemua barisan artis mempunyai peminat mereka yang tersendiri dan sudah tentu mereka mahu menyaksikan penyanyi kegemaran mereka membuat persembahan di pentas mega ini,” kata Ajai ketika sidang media Konsert ByAjai and Mega Friends di Hotel Royale Chulan, Damansara pada Rabu.
Tambah Ajai, dia memiliki perancangan untuk mengadakan siri kedua dan seterusnya buat konsert itu kerana ramai penyanyi sudah bekerjasama dengannya yang boleh ditampilkan dalam siri yang seterusnya.
“Insya-Allah semuanya dalam perancangan dan kami sedang merangka secara terperinci perkara itu satu per satu,” katanya.
Tiket konsert tersebut boleh didapati di ticket2u.com.my bermula pada harga RM187 (Mega Fans Standing), RM197 (Serasi Bersama byAjai), RM257 (Aduh byAjai), RM287 (Kesetiaan byAjai), RM577 (Mega VIP) dan RM777 (Super Mega VIP).
Baca juga: