Perlis United akan beraksi di Liga Super

Penantian selama 13 tahun akhirnya berbaloi apabila pasukan dari Perlis iaitu Perlis United FC (PUFC) bakal membuat kemunculan semula dalam Liga Super musim baharu nanti.

Perkara tersebut diumumkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL), namun pasukan tersebut masih menunggu beberapa prosedur dokumentasi penajaan dan bukti dana.

Menurut kenyataan rasmi Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, dokumen dikemukakan oleh PUFC lebih kukuh berbanding tiga pasukan yang turut memohon lesen luar biasa tersebut.

“Bagaimanapun, PUFC diarah memenuhi syarat tambahan untuk layak menerima lesen luar biasa (extraordinary license) yang bersyarat.

“Berdasarkan semakan dan penilaian teliti terhadap setiap permohonan yang dikemukakan, PUFC memiliki dokumen lebih kukuh dengan salinan surat penajaan berjumlah RM25 juta daripada empat potensi penaja iaitu Mudim Zakaria Food Industries Sdn Bhd, Ivory Properties Group Berhad, M.A Intelligent Holdings Sdn Bhd dan Al Razi Holding (M) Sdn Bhd.

“PUFC turut telah mengemukakan salinan cek berjumlah RM5 juta daripada salah satu penaja tersebut sebagai bukti dana kewangan pasukan.

“Selain itu, kelab berkenaan juga menyerahkan surat sokongan daripada kerajaan negeri Perlis yang ditandatangani oleh Menteri Besar, YAB Tn Mohd Shukri Ramli serta surat sokongan daripada Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA),” kata Stuart.

Tiga kelab tersebut ialah Imigresen FC, KL Rovers FC dan Harini Selangor FT.

Ahli Lembaga Pengarah MFL memutuskan PUFC hanya akan diberikan Lesen Bersyarat Luar Biasa dengan mematuhi beberapa keperluan dan kriteria yang ditetapkan oleh FIB susulan janji dan jaminan yang diberikan kepada FIB daripada pegawai-pegawai PUFC semasa pembentangan mereka.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat