Gelaran Juara Mrs National World 2023 buka peluang baharu buat Rahayu Omar

Pemenang gelaran Juara Mrs National World pada tahun 2023 iaitu Rahayu Omar atau mesra dipanggil Ayu Omar, tetap kekal positif dalam meneruskan bidang perniagaan kek dan pastri.

Bercerita tentang perjalanan Ayu menyertai program tersebut, dia bersyukur apabila segalanya dipermudahkan apabila mendapat bantuan dan sokongan daripada rakan-rakan.

“Saya bersyukur kerana pada mulanya saya masuk pertandingan Mrs National Universe Malaysia 2023 dan berjaya meraih gelaran juara sekali gus mewakili negara ke pertandingan peringkat antarabangsa di Thailand.

“Saya sangat terkejut, pada masa yang sama, bersyukur sangat-sangat sebab ianya merupakan pertama kali buat saya mewakili peringkat yang lebih besar semasa umur mencecah 30 tahun,” jelasnya ketika dihubungi Malaysia Bangkit.

Ayu berkata, ketika digelarkan juara bagi pertandingan ratu cantik di Malaysia itu, dia hanya mempunyai dua hari sahaja untuk berangkat ke Thailand dan membuat persiapan yang secukupnya.

“Ketika itu, ada masa dua hari sahaja untuk saya membuat persiapan bertanding di Thailand. Setelah tiba di Thailand, saya termasuk peserta lain secara tidak langsung mengenali dan mempelajari budaya di sana,” jelas anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Sementara itu, cabaran terbesar yang dihadapinya ketika menyertai pertandingan tersebut ialah tempoh masa penukaran baju peragaan yang amat singkat.

“Antara cabaran yang saya hadapi ketika itu adalah masa penukaran baju peragaan itu cukup singkat. Walaupun dalam masa yang singkat, saya dan team berjaya untuk mengendalikan perkara tersebut.

“Mana tidaknya, masa penukaran baju diberikan hanya 6 minit sahaja. Saya pula perlu memperagakan baju Puteri Perak yang bertemakan tradisional. Alhamdulillah, berkat kerjasama pasukan dan rakan-rakan lain, saya berjaya memperagakan tiga baju dalam pertandingan itu,” jelasnya lagi.

Setelah selesai bertanding dalam program ratu cantik peringkat dunia tersebut, Ayu kini lebih fokus dalam meningkatkan pemasaran produk jualan kek dan pastri.

Ayu yang juga pengasas kepada jenama BellaTheBakers, mengakui mendapat tawaran daripada syarikat Maker’s Recipe Sdn Bhd untuk menjalinkan kerjasama sekali gus berjaya mengembangkan perniagaan sehingga berjaya membuka sebuah cawangan baharu di Utara Semenanjung.

“Ada juga beberapa pelabur yang menarik dengan perniagaan saya dan perkara tersebut masih dalam perbincangan lagi sebab saya mungkin akan keluarkan produk makanan baru selepas raya nanti.

“Apa-apa pun tawaran yang datang perlu dibincangkan terlebih dahulu. Dalam dunia perniagaan ini, kita mesti ada ilmu,” katanya bersempena dengan Hari Wanita Sedunia: Wanita Dijulang Negara Gemilang.

Ayu yang juga seorang ibu tunggal keapda seorang cahaya mata lelaki, amat mendukung serta memberikan inspirasi buat wanita khususnya golongan ibu tunggal agar tidak berputus asa dalam apa jua bidang diceburi atau permasalahan kehidupan.

“Jangan pernah mengaku kalah, dan prinsip saya tujuh kali jatuh, lapan kali saya bangun. Jadi saya mengharapkan agar kesemua wanita terutamanya ibu-ibu tunggal yang ada di Malaysia ini untuk terus berusaha maju ke hadapan,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat