Seramai empat dilapor hilang dalam kejadian bot karam berhampiran Sekolah Kebangsaan Lepong, di Sungai Batang Baleh, Kapit, Sarawak pada petang Khamis.
Ketua Balai Bomba Kapit Timothy Barat berkata, dalam kejadian pukul 5 petang itu melibatkan bot berkuasa tinggi.
Katanya, bot dinaiki lima penumpang itu menyaksikan seorang daripadanya, Moses Ngui, 47, berjaya diselamatkan orang awam.
“Empat mangsa yang masih hilang dikenali Iskandar Ibrahim, Jonthan Lambet, Amerson John Nain, dan Jack Balan.
“Dua daripada mangsa yang hilang adalah anggota polis,” katanya.
Tambahnya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba Kapit dikerah ke lokasi bagi menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat (SAR) selepas menerima makluman berhubung insiden, pada pukul 5.24 petang.
Sejurus tiba di lokasi, pasukan bomba memulakan usaha SAR menggunakan teknik pencarian secara permukaan dalam radius satu kilometer dari lokasi mangsa terakhir dilihat.
Bagaimanapun, beliau berkata atas faktor keselamatan operasi SAR ditangguhkan pada 6.50 petang dan akan disambung pada Jumaat.
Baca juga: