Roda pesawat boeing 777 tertanggal sejurus berlepas

Sebuah pesawat Boeing 777 yang sedang dalam perjalanan menuju ke Jepun terpaksa membuat pendaratan kecemasan sebaik berlepas, selepas satu tayarnya tercabut lalu terjatuh ke kawasan parkir lapangan terbang pada Khamis.

Rakaman video tular yang dikongsikan dalam talian itu menunjukkan roda berkenaan tertanggal beberapa saat selepas pesawat United Airlines itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco, Amerika Syarikat.

Menurut laporan KRON4, roda terbabit terjatuh di tapak parkir yang digunakan kakitangan lapangan terbang itu.

Dalam pada itu, pegawai lapangan terbang berkenaan memaklumkan bahawa terdapat beberapa kenderaan mengalami kerosakan akibat insiden itu.

Sementara itu, United Airlines berkata, terdapat seramai 249 orang berada di dalam jet berkenaan yang menuju ke Osaka.

“Penerbangan itu dilencongkan ke Los Angeles dan berjaya mendarat dengan selamat, manakala penumpang terbabit dijangka meneruskan perjalanan pada hari sama.

“Pesawat Boeing 777 mempunyai enam roda pada setiap sangga pendaratan utamanya, dan ia direka untuk mendarat dengan selamat jika terdapat suatu yang hilang atau rosak,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, tiada individu dilaporkan cedera parah dalam insiden berkenaan yang mencetuskan tindakan penggantungan selama 19 hari ke atas semua pesawat Boeing 737 Max 9.

Terdahulu, pihak pengawal selia Amerika Syarikat (AS) memberi tempoh 90 hari kepada Boeing untuk mengemukakan pelan menangani isu kawalan kualiti. 

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/03/07/ipd-petaling-jaya-anjur-latihan-pertolongan-cemas/

Anda Mungkin Berminat