Imigresen tahan 58 PATI termasuk bayi dan kanak-kanak di Miri

Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak (JIMS) telah berjaya menahan seramai 58 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu Tindakan Operasi Penguatkuasaan pada 8 Mac 2024 di sekitar Bandaray Miri.

Operasi tersebut telah dijalankan dengan kekuatan seramai 60 orang pegawai pelbagai pangkat daripada Bahagian Penguatkuasaan JIMS.

Menurut Pengarah JIMS, Abdul Halim Abang Naili, satu operasi dinamakan OPS SAPU telah dilancarkan ke atas beberapa penempatan warga asing di mana terdapatnya kehadiran warganegara asing yang disyaki bekerja tanpa pas yang sah, menyalahgunakan pas dan tinggal lebih masa di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

“Sehubungan itu, mereka yang ditahan adalah terdiri daripada warga Filipina dan Indonesia. Jumlah yang ditahan adalah seramai 58 orang, terdiri daripada 20 orang lelaki, 14 orang wanita, 24 bayi dan kanak-kanak.

“Operasi tersebut juga akan dijalankan di seluruh Sarawak sepanjang tahun sebagai satu usaha untuk mengekang kemasukan warganegara asing yang berada di negara kita tanpa dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Abdul Halim turut berkata, pihak JIMS menyeru orang ramai untuk bekerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sarawak dengan menyalurkan maklumat berhubung keberadaan warga asing yang disyaki tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau permit kerja yang sah.

Antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa, dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Justeru itu, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Bekenu, Miri untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat