Tawar pinjaman wang tanpa lesen, 17 termasuk warga asing ditahan

Polis menahan 17 individu selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan serentak di seluruh negeri Johor pada 5 dan 6 Mac lalu.

Menurut Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar, suspek terdiri daripada 14 lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga asing dan dua wanita warga asing berusia antara 18 hingga 65 tahun.

Katanya, mereka ditahan menerusi Op Vulture yang dijalankan bagi membanteras kegiatan pemberi pinjam wang tanpa lesen atau along.

“Kita turut merampas lima kenderaan, 26 telefon bimbit, 25 kad ATM pelbagai bank, dua komputer riba, 40 salinan kad pengenalan pelanggan, sembilan salinan perjanjian pinjaman dan satu fail mengandungi senarai nombor peminjam.

“Turut dirampas, pencetak, enam buku rekod pinjaman, dua papan kekunci berserta tetikus, CPU, monitor, modem, tiga beg sandang pelbagai jenama, 14 pasport, pelbagai wang berjumlah RM48,366 dan sembilan cek,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 dan orang ramai dinasihatkan hanya membuat pinjaman dari institusi kewangan yang dilesenkan sahaja.

Orang ramai boleh merujuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atau Bank Negara Malaysia (BNM) bagi mengetahui status sesebuah institusi yang menawarkan pinjaman.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat