Dakwa warganegara Malaysia, PDRM cuba dapatkan maklumat bos ‘raja dadah di India’

Polis Diraja Malaysia (PDRM) setakat ini tidak menerima sebarang maklumat berhubung dakwaan seorang warga Malaysia dikatakan menjadi dalang sebenar di belakang ‘raja dadah India’ yang ditahan pada Sabtu lalu.

Dakwaan itu dibuat seorang wartawan yang juga pemilik sebuah agensi media di India menerusi satu wawancara di YouTube seperti dilaporkan sebuah portal berita tempatan.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, hasil semakan data mendapati individu digelar ‘raja dadah India’ yang ditahan Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) India berkenaan tiada dalam mana-mana maklumat pengedaran dadah dalam negara ini.

“Hasil semakan pangkalan data Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) mendapati sehingga kini penama ini tidak timbul dalam mana-mana maklumat pengedaran dadah dalam negara kita.

“Bagaimanapun, JSJN sedang mendapatkan maklumat daripada pihak pegawai keselamatan India berkait pembabitan penama ini di Malaysia seperti didakwa dalam portal berita dalam talian itu,” katanya pada Selasa.

Memetik Sinar Harian juga, beliau berkata, buat masa ini PDRM tidak mempunyai hubungan bilateral dengan NCB dan sebarang komunikasi hanya melalui Polis Antarabangsa (Interpol) dan Agensi Penguatkuasaan Dadah (DEA) Amerika Syarikat (AS).

“PDRM khususnya JSJN amat menitikberatkan kerjasama antarabangsa dalam membanteras aktiviti pengedaran dadah.

“Komitmen ini dapat dilihat melalui pembabitan Malaysia dengan agensi antarabangsa seperti Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC), DEA dan Australian Federal Police (AFP),” jelasnya.

Terdahulu media melaporkan, ketua kepada ‘raja dadah India’ adalah warga Malaysia yang mempunyai hubungan rapat dengan selebriti industri filem Tamil dan seorang pengedar filem, namun identiti sebenar individu terbabit tidak didedahkan.

Susulan itu, penahanan penerbit filem Tamil, Jaffer Sadiq oleh NCB selepas suspek disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa bernilai RM1.3 bilion.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/03/11/kerajaan-perkenal-4-langkah-atasi-el-nino-ke-atas-sektor-agromakanan/

Anda Mungkin Berminat