Pemandu maut, bas rempuh belakang treler

Pemandu bas ekspres maut, manakala tujuh penumpang cedera selepas melanggar belakang sebuah treler di Kilometer 220.4 Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) menghala ke utara Alor Gajah, Melaka pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Arshad Abu berkata, pemandu bas ekspres terbabit Zulkarnain Jalil, 41, yang tersepit di tempat duduk meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan.

Bagaimanapun pemandu treler terbabit tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, tujuh penumpang cedera yang berusia antara 20 hingga 50 tahun, dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban, dan Hospital Rembau, Negeri Sembilan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Hasil siasatan awal mendapati treler terbabit dalam perjalanan dari Kota Tinggi, Johor ke Senawang, Seremban, manakala bas ekspres pula dalam perjalanan dari Stesen Bas Larkin, Johor ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Kuala Lumpur dengan membawa 30 penumpang.

“Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila bas ekspres berkenaan melanggar belakang treler terbabit yang dipandu di lorong kanan,” katanya.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat, penumpang bas yang tidak mengalami kecederaan pula meneruskan perjalanan ke TBS menaiki bas gantian yang disediakan syarikat bas ekspres terlibat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat