Puteri Wales, Kate Middleton memohon maaf atas kesilapan ‘teknikal’ ke atas gambar keluarga yang memaparkan dirinya dengan tiga orang anak yang dikatakan suntingan, dan bukanlah asli.
Perkara tersebut lantas tular di media sosial apabila Middleton mengatakan telah sihat dan kini sedang melalui fasa pemulihan selepas menjalani pembedahan.
Bagaimanapun, perkara sebaliknya berlaku apabila warga maya mengkritik gambar tersebut dengan mengatakan foto berkenaan palsu.
“Seperti jurugambar amatur yang lain, saya melakukan eksperimen terhadap gambar tersebut dengan penyuntingan.
“Saya ingin memohon maaf atas sebarang kekeliruan yang disebabkan oleh gambar keluarga yang kami kongsi,” katanya menerusi hantaran di X.
Imej tersebut memaparkan Middleton duduk di atas kerusi dikelilingi tiga orang anaknya, Putera George, 10, Puteri Charlotte, 8, dan Putera Louis, 5.
Pada gambar tersebut kelihatan beberapa suntingan yang ‘gagal’ termasuk lengan Puteri Charlottle yang sebahagiannya hilang.
Selain itu, peminat juga mempersoalkan mengapa tangan kanan Putera George kelihatan kabur dalam gambar berkenaan.
Disebabkan suntingan gambar tersebut kelihatan agak meragukan, agensi foto seperti Associated Press (AP), Reuters, Agence France-Presse (AFP) dan Getty Images mengeluarkan notis kepada media untuk menarik semula gambar itu dengan kadar segera.
“Setelah pemeriksaan yang lebih terprinci, nampaknya sumber telah memanipulasi imej,” kata jurucakap AP.
Middleton, 42, berkongsi potret keluarga berkenaan pada Ahad untuk menghormati Hari Ibu yang diraikan di United Kingdom (UK).
Dalam pada itu, peminat turut teruja melihat Middleton kelihatan begitu baik selepas pembedahan pada Januari lalu manakala jurucakap istana mengatakan Middleton dijadualkan akan kembali bertugas pada 31 Mac depan.
Baca juga: