Remaja lelaki Palestin maut ditembak polis Israel

Polis Israel bertindak tanpa kemanusiaan apabila sanggup meragut nyawa seorang remaja Palestin berusia 12 tahun dengan menembak mati di Kem Pelarian Shuafat, Baitulmaqdis Timur meskipun mengetahui seluruh umat Islam di dunia sedang menjalani ibadah Ramadan.

Berdasarkan video tular, mangsa bernama Rami Al Halhouli dilihat memegang bunga api yang sedang menyala sebelum rebah akibat ditembak.

Menurut jurucakap polis Israel, anggotanya bertindak balas sedemikian kerana ia merupakan salah satu gangguan ganas yang membahayakan pasukan mereka yang bertugas berhampiran kem pelarian berkenaan.

Polis turut mengatakan ia merupakan malam kedua berturut-turut rakyat palestin di Shuafat membaling molotov cocktail dan bunga api kepada pasukan keselamatan Israel.

“Sebelum ini, terdapat individu yang membaling molotov cocktail kepada pasukan keselamatan kami pada Selasa,” kata jurucakap tersebut kepada media antarabangsa, CNN.

Namun begitu, pasukan keselamatan Israel tidak kelihatan dalam video Al Halhouli dibunuh tetapi kelihatan kanak-kanak tersebut berdiri berhampiran dengan penghalang yang memisahkan Tebing Barat dengan kem pelarian itu.

Setelah rebah, dilihat beberapa orang berkumpul di sekeliling Al Halhouli sementara seorang wanita menjerit memanggil nama kanak-kanak malang berkenaan.

Mangsa yang berada dalam keadaan kritikal dikejarkan ke unit trauma Hospital Hadassah Mount Scopus sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai hospital berkenaan.

Baca juga:

https://malaysiabangkit.com/2024/03/13/lelaki-warga-singapura-maut-kenderaan-jatuh-ke-dalam-gaung/

Anda Mungkin Berminat