Jabatan Perikanan Negeri Perak memandang serius terhadap kaedah penangkapan ikan yang betul agar tidak bertentangan dengan undang-undang sekali gus memastikan kelestarian sumber perikanan dapat dinikmat oleh generasi akan datang.
Menurut kenyataan agensi tersebut, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dan pelanggaran Akta dan Peraturan sedia ada.
Perkara itu melibatkan satu rakaman yang tular di media sosial menunjukkan sekumpulan lelaki menangkap ikan.
“Berhubung isu yang telah tular pada Ahad lalu, pihak jabatan ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada warga negeri ini di atas perkongsian informasi bagi memudahkan pihak kami mengumpul maklumat untuk tindakan selanjutnya.
“Ini jelas menunjukan bahawa warga Negeri Perak amat cinta dan sayangkan kelestarian sumber alam semula jadi agar ia sentiasa terpelihara selamanya,” jelasnya.
Tindakan tegas turut akan diambil kepada mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dan pelanggaran Akta dan Peraturan sedia ada.
Dalam pada itu, aktiviti tidak bertanggungjawab yang didakwa mengebom serta merenjat elektrik ikan kelah dipercayai di Sungai Singor, Hutan Simpan Temengor, Gerik membangkitkan kemarahan penduduk setempat dan orang ramai.
Menerusi sebuah rakaman yang tular sejak Rabu, sekumpulan lelaki dilihat menunjukkan hasil tangkapan mereka dan dipercayai mahu menunjuk-nunjuk jumlah ikan berjaya ditangkap.
Pengerusi Persatuan Anak Gerik, Tajuddin Mohd Ali berkata, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan segera terhadap isu tersebut kerana ia mengancam populasi ikan di sungai berkenaan.
“Kami orang kampung tidak ada masalah sekiranya mana-mana pihak mahu mengadakan aktiviti menangkap ikan di sana, tetapi biarlah berpandukan kepada undang-undang dan berdisiplin.
“Perbuatan mengebom atau menggunakan elektrik untuk menangkap ikan memang tak boleh diterima. Diharapkan pihak tidak bertanggungjawab itu dapat ditahan segera bagi tindakan undang-undang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Baca juga: