Kenaikan 10 peratus kadar tambang bas ekspres ekonomi sempena raya- APAD

Terdapat kenaikan 10 peratus kadar tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri mulai 4 hingga 17 April depan, menurut Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Sementara itu, Jemaah Menteri telah meluluskan surcaj musim perayaan sebanyak RM0.009 sekilometer (skm), di mana pelaksanaan surcaj itu akan meningkatkan kadar tambang bas ekspres kategori berkenaan kepada RM0.102 skm berbanding kadar tambang biasa RM0.093 skm.

Permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) juga telah dibuka oleh pihak agensi berkenaan bagi perkhidmatan bas ekspres pada 10 dan 11 April bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Langkah berkenaan diambil untuk memastikan perkhidmatan bas ekspres mencukupi dan dapat menampung peningkatan penumpang yang pulang ke kampung halaman sempena musim perayaan.

“Dalam pada itu, permohonan LPS itu terbuka kepada semua pengendali bas yang layak bermula 11 Mac hingga 2 April dan tempoh sah laku lesen diluluskan adalah dari 2 hingga 17 April.

“Selain itu, bas ekspres hendaklah dilengkapi sistem penentu posisi global (GPS) dengan usia tidak melebihi 10 tahun

“Permohonan terhad kepada jenis perkhidmatan ekonomi sahaja. Bagi ekspres dan bas persiaran yang melebihi had usia penggunaan dan telah mendapat kelulusan Laporan Puspakom VR1 Khas (Kod 9009) dibenarkan untuk memohon,” menurut APAD.

Dalam pada itu, permohonan boleh dibuat menerusi semua pejabat wilayah dan kaunter APAD di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pihak APAD turut menegaskan bahawa sebarang perlanggaran syarat lesen yang telah ditetapkan boleh menyebabkan pengendali dikenakan tindakan berdasarkan kesalah di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“APAD memohon kerjasama semua pihak dalam usaha memperkasa perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Baca juga: