Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) mengumumkan pindaan kepada Caj Perkhidmatan Penumpang, PSC bagi Tempoh Kawal Selia Pertama, RP1, bermula 1 Jun 2024 hingga 31 Disember 2026.
Menurut laporan, MAVCOM menjelaskan tiket yang dikeluarkan sebelum 1 Jun depan tidak akan tertakluk kepada kadar baharu itu, walaupun tarikh perjalanan berlaku pada atau selepas tarikh itu.
Jelas suruhanjaya itu dalam satu kenyataan, memaklumkan bahawa kadar pindaan PSC baharu itu di antara RM7 dengan RM73 bagi RP1 dikenakan kepada penumpang yang berlepas dari dan pemindahan melalui Malaysia.
“Kadar berkenaan termasuk caj keselamatan iaitu caj bagi penyediaan perkhidmatan keselamatan di lapangan terbang,” jelasnya.
MAVCOM memaklumkan bahawa pihaknya mengekalkan PSC pelepasan domestik pada RM11 di semua lapangan terbang kecuali Lapangan Terbang Antarabangsa Senai.
Berdasarkan kadar PSC baharu, PSC ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN telah digabungkan menjadi PSC antarabangsa tunggal berjumlah RM73 bagi Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA, dan RM50 bagi Terminal 2 KLIA berserta lapangan terbang lain.
Sementara itu, kadar PSC semasa ASEAN dan destinasi melangkau ASEAN masing-masing pada RM35 dan RM73.
Selain itu, MAVCOM juga memperkenalkan PSC pemindahan bagi RP1, di semua lapangan terbang di Malaysia dengan kadar untuk perjalanan domestik melalui semua lapangan terbang ialah RM7.
Difahamkan, kadar RM42 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 1 KLIA dan RM29 untuk perjalanan antarabangsa melalui Terminal 2 KLIA dan lapangan terbang lain.
Di bawah seksyen 46 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 Akta 771, MAVCOM bertanggungjawab menetapkan Caj Perkhidmatan Penerbangan (ASC) seperti PSC, caj pendaratan,
dan caj parkir pesawat.
Pindaan ini diperlukan untuk menyokong pemulihan industri penerbangan dan penyesuaian kepada persekitaran pasca-COVID-19.
Hal ini bertujuan untuk melindungi kebajikan pengguna penerbangan, memudahkan pemulihan yang mampan dan berdaya tahan, serta memastikan kestabilan kewangan sektor penerbangan.
Untuk maklumat lanjut mengenai PSC dan Caj Perkhidmatan Penerbangan lain boleh didapati dalam Kertas Keputusan berkenaan Penyeliaan Caj Perkhidmatan Penerbangan untuk RP1 di laman web Mavcom di www.Mavcom.my.
Baca juga: