Polis buru 4 individu terlibat kes samun bersenjatakan parang

Ibupejabat Polis Daerah Kuala Langat memburu empat suspek yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah kedai di Telok Panglima Garang pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada seorang pegawai perubatan yang mengalami kerugian RM1,000 dalam kejadian di kedai runcit milik neneknya.

Mangsa dalam laporan polis memaklumkan keluarganya didatangi empat suspek yang menaiki Perodua Ativa merah ketika berada di kedai tersebut.

“Kesemua suspek bersenjatakan parang telah memasuki kedai runcit sebelum salah seorang suspek memasuki rumah pengadu melalui pintu hadapan yang berada di tingkat atas kedai runcit.

“Suspek bagaimanapun turun ke bawah selepas ibu pengadu bangun dan menjerit mengejutkan bapa pengadu yang sedang tidur di dalam bilik mereka,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan mangsa kehilangan wang tunai sejumlah RM1,000.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga boleh dikenakan denda atau sebat.

Untuk makluman, pihak polis sedang giat memburu suspek yang terlibat dalam kejadian samun itu.

Baca juga: