74 resolusi Kongres Ekonomi Bumiputera 2024 dimuktamad

Sebanyak 74 resolusi dan 150 program yang diusulkan dalam pembentangan 10 kumpulan di Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) telah dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu).

Kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, langkah tersebut dapat meningkatkan keyakinan rakyat akan kesungguhan Kerajaan MADANI dalam melaksanakan apa yang telah diresolusikan. 

“Jumpah dimuktamadkan itu hasil daripada 81 resolusi asal yang mana terdapat pertindihan dan dirangkumkan di bawah Transformasi Ekonomi Bumiputera melalui tiga matlamat.

“Matlamat tersebut ialah Keadilan Sosioekonomi, Kemampanan Negara Bangsa dan Kemakmuran Negara dan Kesejahteraan Rakyat.

“Ia termasuk juga cadangan penubuhan Perbadanan Tanah Bumiputera, Tabung Waqaf MARA MADANI, Generasi Usahawan Bumiputera dan Pembangunan Tanah Rizab Melayu seperti diutarakan di dalam KEB 2024 yang lalu,” katanya dalam satu kenyataan. 

Dalam pada itu, mesyuarat itu turut menetapkan tempoh waktu bagi setiap kumpulan mengemukakan laporan kemajuan secara berkala termasuk menetapkan matlamat pada Sesi Pelaporan Setahun Pelaksanaan KEB yang dibentangkan sepenuhnya Mei tahun depan.

Ahmad Zahid sebelum ini mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu bersama pengerusi-pengerusi Kumpulan KEB yang mana resolusi itu diangkat menjadi agenda baharu pemerkasaan Bumiputera hasil penganjuran KEB 2024 pada 29 Februari hingga 2 Mac lalu.

Segala tindakan susulan akan sentiasa diperhalusi, dipantau secara berkala dan pelaksanaannya ditambah baik dari semasa ke semasa untuk mengangkat darjat ekonomi Bumiputera ke tahap lebih baik.

Beliau dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Jawatankuasa Pemandu) bertujuan menjayakan program KEB 2024 yang diluluskan oleh Majlis Ekonomi Bumiputera (MEB).

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Mac lalu bersetuju supaya satu sekretariat tetap ditubuhkan di bawah MEB yang akan dipengerusikan sendiri Perdana Menteri bagi memastikan setiap resolusi itu diperhalusi dan dipastikan keberkesanan pelaksanaannya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli pula dipertanggungjawab mempengerusikan Jawatankuasa Kerja MEB bagi memastikan proses pelaksanaan dapat dijalankan secara efektif dan berkesan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat